Wednesday, 16 April 2014

Pembangunan dengan Alam Sekitar Kita

Pembangunan yang tidak terancang mengakibatkan pencemaran alam sekitar. Longgokan reja batu-batan sesudah siap projek pembangunan ke dalam sungai pastinya mengakibatkan banjir kilat. Bencana ini berpunca daripada masalah pembentungan dan perparitan yang tersumbat sesudah hujan lebat berterusan.

            Pembangunan yang pesat tanpa perancangan rapi dan sistematik mengakibatkan kerosakan ekosistem habitat semula jadi. Penanaman cerucuk untuk bangunan pencakar langit akan melonggarkan ikatan tanah. Akibatnya, hakisan dan tanah runtuh akan berlaku apabila hujan lebat. Keadaan ini menjejaskan bangunan tinggi bersebelahan.

            Kuala Lumpur ditandai oleh bangunan pencakar langit seperti Menara Berkembar Petronas, Pusat Bandar Raya Kuala Lumpur (KLCC). Malangnya di sebalik kepesatan pembinaan ini, ada pihak yang tidak bertanggungjawab membuang sisa batu-batan ke dalam sungai. Banjir kilat berlaku kerana longkang dan parit ini tersumbat dan air tidak dapat mengalir menurut alur yang betul. Sepatutnya, sisa batu-batan ini dibuang ke tempat yang terpinggir jauh dari pusat bandar raya.

            Selain itu, kepadatan penduduk Kuala Lumpur juga menyebabkan lereng bukit terpaksa dipotong. Tujuannya ialah hendak memberi laluan kepada pembinaan rumah teres dua tingkat. Sekali lagi, hujan lebat mengakibatkan kejadian tanah runtuh yang meranapkan tempat kediaman dan mengorbankan nyawa. Banjir lumpur yang berlaku turut mencemarkan alam sekitar. Oleh itu, pihak berkuasa patut menghentikan tindakan memotong lereng bukit khususnya yang curam untuk tujuan pembinaan bangunan.

Intihanya, negara kita tidak dapat menafikan pembangunan infrastruktur dan pembinaan bangunan pencakar langit. Akan tetapi, kepesatan pembangunan ini janganlah sampai mengorbankan kepentingan habitat semula jadi. Alam sekitar yang bersih dan indah adalah satu aset yang amat penting bagi semua generasi yang akan datang,  jadi hargailah alam sekitar kita.
Gambar ini menunjukkan banjir di klang apabila Sungai Klang tidak lagi dapat menampung air yang banyak akibat kedalaman sungai yang semakin cetek disebabkan proses pembandaran.
Gambar ini pula menunjukkan benteng konkrit di Bukit Setiawangsa, Kuala Lumpur runtuh yang menyebabkan jalan utama di kawasan itu ditutup.

No comments:

Post a Comment