Pembangunan yang tidak
terancang mengakibatkan pencemaran alam sekitar. Longgokan reja batu-batan
sesudah siap projek pembangunan ke dalam sungai pastinya mengakibatkan banjir
kilat. Bencana ini berpunca daripada masalah pembentungan dan perparitan yang
tersumbat sesudah hujan lebat berterusan.
Pembangunan yang pesat tanpa perancangan rapi dan sistematik
mengakibatkan kerosakan ekosistem habitat semula jadi. Penanaman cerucuk untuk
bangunan pencakar langit akan melonggarkan ikatan tanah. Akibatnya, hakisan dan
tanah runtuh akan berlaku apabila hujan lebat. Keadaan ini menjejaskan bangunan
tinggi bersebelahan.
Kuala Lumpur ditandai oleh bangunan pencakar langit
seperti Menara Berkembar Petronas, Pusat Bandar Raya Kuala Lumpur (KLCC).
Malangnya di sebalik kepesatan pembinaan ini, ada pihak yang tidak
bertanggungjawab membuang sisa batu-batan ke dalam sungai. Banjir kilat berlaku
kerana longkang dan parit ini tersumbat dan air tidak dapat mengalir menurut
alur yang betul. Sepatutnya, sisa batu-batan ini dibuang ke tempat yang
terpinggir jauh dari pusat bandar raya.
Selain itu, kepadatan penduduk Kuala Lumpur juga
menyebabkan lereng bukit terpaksa dipotong. Tujuannya ialah hendak memberi laluan
kepada pembinaan rumah teres dua tingkat. Sekali lagi, hujan lebat
mengakibatkan kejadian tanah runtuh yang meranapkan tempat kediaman dan
mengorbankan nyawa. Banjir lumpur yang berlaku turut mencemarkan alam sekitar.
Oleh itu, pihak berkuasa patut menghentikan tindakan memotong lereng bukit
khususnya yang curam untuk tujuan pembinaan bangunan.
Intihanya,
negara kita tidak dapat menafikan pembangunan infrastruktur dan pembinaan
bangunan pencakar langit. Akan tetapi, kepesatan pembangunan ini janganlah
sampai mengorbankan kepentingan habitat semula jadi. Alam sekitar yang bersih
dan indah adalah satu aset yang amat penting bagi semua generasi yang akan datang, jadi hargailah alam sekitar kita.
Gambar ini menunjukkan banjir di klang apabila Sungai
Klang tidak lagi dapat menampung air yang banyak akibat kedalaman sungai yang
semakin cetek disebabkan proses pembandaran.
Gambar ini pula menunjukkan benteng konkrit di
Bukit Setiawangsa, Kuala Lumpur runtuh yang menyebabkan jalan utama di kawasan
itu ditutup.




