Wednesday, 16 April 2014

Pembangunan dengan Alam Sekitar Kita

Pembangunan yang tidak terancang mengakibatkan pencemaran alam sekitar. Longgokan reja batu-batan sesudah siap projek pembangunan ke dalam sungai pastinya mengakibatkan banjir kilat. Bencana ini berpunca daripada masalah pembentungan dan perparitan yang tersumbat sesudah hujan lebat berterusan.

            Pembangunan yang pesat tanpa perancangan rapi dan sistematik mengakibatkan kerosakan ekosistem habitat semula jadi. Penanaman cerucuk untuk bangunan pencakar langit akan melonggarkan ikatan tanah. Akibatnya, hakisan dan tanah runtuh akan berlaku apabila hujan lebat. Keadaan ini menjejaskan bangunan tinggi bersebelahan.

            Kuala Lumpur ditandai oleh bangunan pencakar langit seperti Menara Berkembar Petronas, Pusat Bandar Raya Kuala Lumpur (KLCC). Malangnya di sebalik kepesatan pembinaan ini, ada pihak yang tidak bertanggungjawab membuang sisa batu-batan ke dalam sungai. Banjir kilat berlaku kerana longkang dan parit ini tersumbat dan air tidak dapat mengalir menurut alur yang betul. Sepatutnya, sisa batu-batan ini dibuang ke tempat yang terpinggir jauh dari pusat bandar raya.

            Selain itu, kepadatan penduduk Kuala Lumpur juga menyebabkan lereng bukit terpaksa dipotong. Tujuannya ialah hendak memberi laluan kepada pembinaan rumah teres dua tingkat. Sekali lagi, hujan lebat mengakibatkan kejadian tanah runtuh yang meranapkan tempat kediaman dan mengorbankan nyawa. Banjir lumpur yang berlaku turut mencemarkan alam sekitar. Oleh itu, pihak berkuasa patut menghentikan tindakan memotong lereng bukit khususnya yang curam untuk tujuan pembinaan bangunan.

Intihanya, negara kita tidak dapat menafikan pembangunan infrastruktur dan pembinaan bangunan pencakar langit. Akan tetapi, kepesatan pembangunan ini janganlah sampai mengorbankan kepentingan habitat semula jadi. Alam sekitar yang bersih dan indah adalah satu aset yang amat penting bagi semua generasi yang akan datang,  jadi hargailah alam sekitar kita.
Gambar ini menunjukkan banjir di klang apabila Sungai Klang tidak lagi dapat menampung air yang banyak akibat kedalaman sungai yang semakin cetek disebabkan proses pembandaran.
Gambar ini pula menunjukkan benteng konkrit di Bukit Setiawangsa, Kuala Lumpur runtuh yang menyebabkan jalan utama di kawasan itu ditutup.

Lalu Lintas di Bandar Raya Kuala Lumpur

Kesesakan lalu lintas di bandar-bandar besar terutama bandar raya Kuala Lumpur memang perkara biasa yang berlaku setiap hari. Suasana menjadi lagi teruk ketika puncak sebelah pagi dan petang. Kesesakan ini benar-benar dirasai pada waktu hujan lebat apabila air Sungai Gombak dan Sungai Kelang melimpahi tebing dan membanjiri kawasan tertentu di Lembah Klang.

            Sistem lalu lintas yang tidak sistematik turut menjadi faktor kesesakan lalu lintas pada waktu puncak. Misalnya, ada jalan yang sepatutnya sehala dijadikan dua hala dan begitu juga sebaliknya. Dengan itu, polis trafik dapat melicinkan lalu lintas khususnya pada waktu hendak pergi dan pulang dari tempat kerja.

            Faktor-faktor lain luar jangkaan seperti kemalangan, pokok tumbang, tanah runtuh, kerja membaiki jalan raya dan sebagainya juga menimbulkan kesesakan. Faktor kemalangan dapat diatasi jika pemandu-pemandu yang terbabit dapat menyelesaikan masalah mereka secara bertolak ansur. Selain itu, phak berkuasa hendaklah bertindak secepat mungkin apabila terjadi kejadian pokok tumbang atau tanah runtuh.

            Projek-projek Transit Ringan atau LRT dan KL Monorel juga banyak menolong dalam meringankan masalah kesesakan lalu lintas. Namun begitu, kerjasasmaa warga bandar terutamaanya Kuala Lumpur amat diperlukan dalam hal ini. Mereka perlu berkongsi kenderaan atau menaiki kenderaan awam.

            Kesimpulannya, kesesakan lalu lintas di Bandar besar terutamanya Kuala Lumpur berpunca daripada faktor manusia. Ini kerana jumlah kenderaan yang banyak dan kedudukan jalan raya yang tidak sistematik menjadi faktor penyebabnya.
Gambar ini menunjukkan kesesakan jalan raya akibat orang ramai yang menghadiri rumah terbuka Aidilfitri dan majlis perkahwinan sempena cuti sambutan Hari Kemerdekaan Ke-55 di Jalan Lingkaran Tengah 2 (JLT2) di Kuala Lumpur.
Gambar ini pula menunjukkan kemalangan jalan raya yang disebabkan oleh sikap manusia.
Gambar ini pula menunjukkan KL Monorel yang banyak menyumbang dalam mungurangkan kesesakan jalan raya bandar raya Kuala Lumpur. KL Monorel ini mempunyai 11 stesen yang bermula dari Titiwangsa ke Tun Sambanthan.

Wednesday, 12 March 2014

Ikon terbaharu Malaysia, Jambatan Kedua Penang

Jambatan Kedua Pulau Pinang atau dinamakan Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah merupakan sebuah jambatan tol jalan raya kembar yang baru di Pulau Pinang. Ia juga merupakan Lebuhraya E28. Ia telah siap dibina pada Februari 2014. Ia menghubungkan Batu Kawan di tanah besar Seberang Perai dan Batu Maung di pulau, Pulau Pinang. Jambatan ini merupakan jambatan kedua yang menghubungkan tanah besar selepas Jambatan Pulau Pinang

     Jambatan ini telah mengguna kos sebanyak RM 4.5 bilion. Jambatan ini terdapat empat lorong dengan dua lorong motorsikal. Panjang jambatan ini ialah 24 km. Jambatan ini merupakan jambatan terpanjang di Malaysia dan Asia Tenggara. 17 km daripada jambatan ini merntasi Selat Selatan, selat yang menghubungkan Pulau Pinang dan Seberang Perai. 1.5 km berada di kawasan Batu Maung, manakala 6 km berada di kawasan Batu Kawan.

     China Harbour Engineering Co Ltd (CHEC) merupakan pembina bagi jambatan ini. Pada awalnya, jambatan ini dijangka memulakan kerja-kerja pembinaan pada November 2007 dan dijangka siap pada 2012, namun ia hanya bermula pada November 2008 dan siap pada Februari 2014. Jambatan ini dibina dengan pinjaman besar daripada kerajaan Republik Rakyat China. Ia telah dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia yang keenam Datuk Seri Mohd Najib bin Abdul Razak pada 1 Mac 2014 dan dinamakan bersempena Yang di-Pertuan Agong ke-14 Sultan Abdul Halim Muadzam Shah. Jambatan Kedua Pulau Pinang juga mempunyai kompleks tol bersepadu yang pertama di Malaysia dan yang terbesar dengan mempunyai 28 lorong.

     Akhirnya, saya berasa bangga dengan Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah . Saya berharap jambatan ini dapat memanfaatkan semua warga Malaysia malah meningkatkan nama baik Malaysia pada peringkat antarabangsa.
Gambar ini menunjukkan kecantikan Jambatan Kedua Penang pada waktu malam. Kecantikan ini tentu tidak dapat dilupai oleh orang ramai yang pernah mengunjungnya selama-lamanya.

Gambar ini menunjukkan orang ramai yang suka berhenti di atas Jambatan Kedua Penang. Orang ramai dinasihati agar tidak memberhentikan kenderaan di atas jambatan ini atas faktor keselamatan.
Gambar ini pula menunjukkan kemalangan yang pertama yang berlaku di atas Jambatan Kedua Penang. Kemalangan berkenaan menyebabkan lalu lintas menjadi sesak sehingga 10 kilometer.